TOLONG BERI TAHU

Share |
Showing posts with label Nur Kasih. Show all posts
Showing posts with label Nur Kasih. Show all posts

Nur Kasih Bakal Difilemkan?


Ramai peminat setia drama Nur Kasih sudah mengetahui kesudahan drama ini. Ramai juga yang tahu rating mingguan drama ini yang disiarkan setiap Jumaat sudah mencapai lebih 3 juta tontonan.

Malah terbaru, ia sudah mencecah kepada angka 3.9 juta. Malahan, sejak empat minggu lalu selepas disiarkan ulangannya di TV3 jam 7 lebih pun mendapat rating hingga 1.3 juta. Itu belum lagi di laman maya kerana ia turut mencatat sebanyak 2.8 juta penonton yang menyaksikan menerusi lama sesawang (Catch-up TV).

Semua tumpang seronok dengan kejayaan drama arahan Kabir Bhatia ini cuma sesetengah kesibukan di pejabat mungkin membuatkan sudah terlepas banyak episod. Tak apalah mungkin selepas ini, orang ramai boleh membeli DVD drama ini yang sudah mula dijual di Singapura.

Ada yang memberitahu DVDnya memang ada dijual di Kota Singa itu apatah lagi drama terbabit turut disiarkan di saluran Sensasi di Singapura. Terbaru ada khabar yang singgah di telinga, drama ini bakal difilemkan.

Lara Kirana Manja berkata, kalau tiada aral melintang penggambaran akan dibuat pada Februari ini. Kata Lara lagi, dia kurang pasti sama ada pelakon versi drama akan dikekalkan untuk versi filem. Tak apalah tunggu saja perkembangannya nanti.

Kita harap cerita ini akan jadi kenyataan dan tak mahu jadi seperti yang pernah terjadi pada drama Kekasihku Seru yang kononnya mahu diterjemahkan ke format filem. Umum mengetahui ura-ura untuk menghasilkan filem Kekasihku Seru yang pernah dikeluarkan kenyataannya oleh Kabir sendiri selaku pengarahnya tidak akan menjadi kenyataan.

Apatah lagi, penonton pun sudah mula lupa mengenai kewujudan drama seram itu. Maka, dengan itu, pihak Kabir sendiri tidak teragak-agak untuk merealisasikan filem Nur Kasih ketika drama itu masih menjadi sebutan dan terpahat dalam ingatan penonton.

p/s: Korang fikir jadi ke x?

Apa keistimewaan Nur Kasih?

Penerapan unsur agama pikat minat penonton pelbagai peringkat


Apakah istimewanya Nur Kasih sehingga beberapa bulan lalu menjadi bahan bualan di pejabat, kedai kopi, malah majlis sosial dan korporat? Seorang rakan yang pulang bercuti di Taiping, misalnya terkejut apabila ibunya mendapat panggilan telefon daripada rakan Cina mengingatkan jangan terlupa menonton Nur Kasih sejurus sebelum ia disiarkan.

Ramai remaja kelas menengah Melayu yang sebelum ini menganggap 'tidak cool' menonton drama Melayu, terpaku menghadap televisyen setiap malam Jumaat bersama keluarga untuk mengikuti Nur Kasih. Bagi yang ketinggalan beberapa siri awal, mereka rela menghabiskan berjam-jam menghadap komputer menonton siri itu menerusi laman web.

Hendak dikatakan pelakon menjadi tarikan, hampir semua watak utama Nur Kasih dilakonkan oleh pendatang baru, malah ada yang hanya baru dikenali melalui siri itu. Kecuali Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman serta beberapa pelakon pembantu, pelakon lain boleh dianggap baru berjinak dalam dunia lakonan.

Dari segi penerbitan pun, Nur Kasih turut dikesan mempunyai beberapa kecacatan, terutama dari segi kesinambungan pada pakaian pelakon. Malah, beberapa watak dalam drama bersiri itu terlalu ideal dan sukar dipercayai wujud dalam kehidupan biasa seperti watak penyabar Nur Amina sendiri atau kesediaan Aliya untuk menjadi 'madu' Nur Amina.

Justeru, apa sebenarnya tarikan Nur Kasih? Barangkali faktor kejayaan Nur Kasih terletak pada tema dan jalan ceritanya yang banyak menyentuh perasaan penonton, rata-ratanya orang Melayu. Jika minat orang Melayu terhadap filem Hindustan sejak dulu hingga sekarang kerana ia banyak memainkan perasaan penonton, Nur Kasih yang berkisar di sekitar cinta, kesetiaan dan pengorbanan tidak banyak berbeza.

Sama ada disengajakan atau sebaliknya, resipi sama dalam kebanyakan filem Bollywood menjadi rencah utama dalam Nur Kasih. Bahawa Khabir, yang kebetulan berasal dari India, cenderung memainkan perasaan penonton ala filem Hindi ini terbukti melalui beberapa filemnya sebelum ini. Beliau melakukan perkara sama dalam Nur Kasih sehingga ramai suri rumah menyediakan kotak tisu ketika menonton drama itu, terutama beberapa episod terakhir.

Walaupun Nur Kasih dibintangi ramai pendatang baru, secara umumnya lakonan mereka berbeza dengan apa yang sering ditonton dalam kebanyakan drama atau filem Melayu. Kemampuan mereka menyampaikan dialog secara bersahaja, ditambah dengan skrip yang baik, menarik penonton yang selama ini menganggap lakonan drama Melayu overacting.

Kelebihan Nur Kasih ialah walaupun ia berunsurkan dakwah, watak-wataknya tidak berkhutbah. Cara penerapan unsur agama dalam drama ini ternyata menarik minat penonton generasi muda. Walaupun sawah dan kampung menjadi lokasi utama, sinematografinya agak berbeza dengan drama lain yang menggunakan lokasi sama.

Khabir sendiri ketika ditemui terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap Nur Kasih. "Terus terang saya katakan, tidak pernah terlintas melihat kejayaan drama ini dengan jumlah penonton yang tinggi. Mungkin kejayaan ini datang dengan jalan cerita tidak membebankan pemahaman penonton, selain fokus kepada keagamaan. Saya mencuba beberapa shot yang berlainan ketika menghasilkan drama dan saya percaya kejayaan ini tidak terhasil jika tiada kesinambungan melalui skrip, barisan pelakon berwibawa serta produksi yang tidak pernah mengenal penat lelah," katanya.

Jika filem Hindustan yang memaparkan kemewahan, kekayaan dan keriangan satu ketika dulu dikatakan menjadi escapism bagi majoriti rakyat India yang miskin, apakah sambutan hangat terhadap Nur Kasih ini juga berupa escapism masyarakat Melayu/Islam di negara ini yang sudah bosan dengan keruntuhan moral dalam setiap bidang kehidupan mereka sekarang?

p/s:Komen?

Lebih 4 Juta Menonton Nur Kasih


TIZ dan Remy, watak utama yang menjayakan drama Nur Kasih.

DRAMA bersiri Nur Kasih yang mula disiarkan di TV3 bermula 29 Mei lalu mencetuskan fenomena baru apabila berjaya mencatat jumlah peratusan penonton tertinggi yang berakhir 27 November lalu.

Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, drama bersiri 26 episod itu menerima kadar penonton (berpandukan kepada penonton berumur empat tahun ke atas) sebanyak lebih 4.1 juta (19 TVR) atau 59 peratus dari peratusan penonton yang menonton episod akhir dari jam 9 hingga 10 malam.

Sebelum ini drama Nur Kasih berjaya mencatat sebanyak 3.9 juta (20.3 TVR) 53.9 peratus (paling tinggi untuk slot drama) menerusi tayangan mingguan setiap malam Jumaat. Melalui siaran ulangan tanpa iklan pada jam 7.25 malam hingga 8 malam pula, siri ini juga berupaya mencecah hampir dua juta penonton ketika disiarkan setiap hari Selasa hingga Jumaat.

Melihat kepada maklum balas penonton, drama ini akan diterbitkan dalam bentuk DVD box set dan akan mula berada di pasaran dengan harga RM99.00. Untuk maklumat lanjut mengenai DVD box set Nur Kasih, boleh melayari web rasmi di www.tv3.com.my. Sementara itu, difahamkan juga siri Nur Kasih ini juga akan diadaptasikan ke layar perak di mana tanggungjawab utama bakal dipikul oleh Khabir Bhatia dan Filmscape yang kini sedang dalam perancangan awal.


p/s:Rancang2 juga. Jangan jadi macam Kekasihku Seru sudah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...