TOLONG BERI TAHU

Share |

Jejaki Peragut Dalam Bas


Dia sudah lama berkhidmat sebagai anggota keselamatan dan usianya hampir mencecah 40 tahun, namun tindakan kurang bijaknya menyebabkan dia mungkin kehilangan mata pencarian.

Hanya kerana satu telefon bimbit, anggota tentera dari sebuah kem di daerah ini kini terpaksa bermalam dalam lokap apabila diberkas beberapa jam selepas merentap telefon milik seorang wanita dalam bas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berusia 20 tahun sedang berbual menggunakan telefon bimbit dalam bas berkenaan sebelum dihampiri seseorang dari belakang.

“Sebaik dihampiri, telefon bimbitnya terus ditarik sebelum suspek turun dan terus melarikan diri.

“Mangsa sempat mengecam wajah dan penampilan suspek menyebabkannya yang bekerja sebagai pegawai keselamatan sebuah syarikat di Johor turun untuk mengejar suspek,” katanya.

Difahamkan, walaupun gagal berbuat demikian, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kampung Baru Tetambah, Manir, dikatakan tidak berpuas hati.

Dia dikatakan meronda di seluruh kawasan hentian terbabit seorang diri untuk menjejaki suspek hingga kira-kira jam 4 petang terserempak dengan lelaki berkenaan.

“Berikutan itu, wanita terbabit menghubungi polis sebelum sepasukan anggota yang tiba di kawasan berkenaan menahan seorang lelaki seperti digambarkannya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan seorang anggota tentera dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. Berikutan penahanan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal daripada lelaki terbabit untuk membantu siasatan.


p/s: Sepandai-pandai tupai melompat...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...