TOLONG BERI TAHU

Share |

Misteri Kampung Kembar


SEBAHAGIAN daripada 220 pasangan kembar perkampungan Kodinhi bersama keluarga mereka.

Fenomena pelik di sebuah kampung kecil di India cetus tanda tanya

KAMPUNG anak kembar. Inilah gelaran paling layak bagi sebuah perkampungan di India yang memiliki lebih 220 pasangan kembar pelbagai peringkat umur.

Fenomena pelik tetapi satu realiti itu berlaku di perkampungan Kodinhi, di pedalaman Kerala, yang bukan saja mencipta kejutan tersendiri, tetapi turut membingungkan kalangan pegawai perubatan.

Angka 220 pasangan kembar bagi sebuah perkampungan yang dihuni kira-kira 2,000 keluarga sememangnya menakjubkan kerana nisbahnya yang enam kali lebih tinggi berbanding purata kelahiran kembar pada peringkat global.

Apa yang berlaku di Kondinhi hanya mengulangi kejadian sama di sebuah perkampungan di Pur Umri, dekat Allahabad, pada 2004 lalu yang mana satu bagi setiap 10 kelahirannya juga kembar.

Jika dilihat secara keseluruhannya di India, kelahiran kembar bagi setiap 1,000 penduduk di negara itu adalah pada kadar 45 bayi bagi setiap 1,000 kelahiran. Oleh itu, apa yang berlaku di Kondinhi disifatkan sebagai amat menghairankan.

Di perkampungan ini, seramai 15 pasangan kembar dilahirkan daripada kira-kira 300 kelahiran pada tahun lalu. Malah, keajaiban itu tidak terhenti setakat itu apabila lebih ramai lagi pasangan kembar dijangka dilahirkan tahun ini.

Oleh itu, jika berkesempatan mengunjungi Kondinhi, jangan terkejut jika anda melihat ramai berwajah seiras yang usianya dalam lingkungan sebulan hingga 65 tahun.

Malah, pasangan kembar bermain atau berjalan sekitar perkampungan Kodinhi di daerah Maluparam, selatan India itu sudah menjadi satu pemandangan biasa di sini.

Dalam tempoh lima tahun lalu, misalnya, seramai 60 pasangan kembar dilahirkan dan angka itu bukannya berkurangan, sebaliknya terus meningkat saban tahun.

Menyedari keunikan kampung mereka, sekumpulan penduduk bertindak mewujudkan Persatuan Anak Kembar atau ringkasnya, Taka.

“Persatuan ini ditubuhkan bagi tujuan mengumpul dan memberi bantuan kepada pasangan kembar serta keluarga mereka,” kata Puallani Bhaskaran, 50, Presiden Taka serta bapa sepasang kembar lelaki.

Apakah punca fenomena ini? Apakah pada diet atau makanan diamalkan penduduk itu atau mungkinkah mereka ada rahsia tersendiri yang memungkinkan kejadian pelik ini?

Buat masa ini, bukan saja orang biasa seperti kita sukar mentafsirkan kejadian pelik ini, tetapi pakar perubatan seperti Dr Krishnan Sribiju yang sudah terbabit dalam penyelidikan kelahiran kembar, termasuk di Kodinhi juga kehairanan.

Baginya, apa yang pasti, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar pasangan kembar di Kondinhi itu jauh lebih tinggi daripada 200 pasangan yang didaftarkan secara rasmi di perkampungan itu.

Dr Sribiju juga yakin angka sebenar pasangan kembar di sini mungkin antara 300 hingga 350 pasangan. Anehnya, bilangan kelahiran kembar itu bukannya berkurangan sebaliknya terus meningkat setiap tahun.

Kalangan penduduk mendakwa fenomena itu berlaku sejak tiga generasi lalu tetapi Dr Sribiju, sebaliknya menganggarkan ia mungkin berlaku kira-kira 60 hingga 70 tahun lalu.

Biarpun bersandarkan ilmu perubatan, Dr Sribiju mengakui kesukaran merungkai misteri berkenaan kerana tidak mempunyai kemudahan seperti peralatan analisis kimia bagi meleraikan fenomena itu.

“Mungkin juga ia ada kaitan dengan aspek pemakanan serta air yang diminum penduduk perkampungan Kondinhi. Tetapi ini pun cuma andaian, bukannya satu kepastian,” katanya dipetik media tempatan.

Pakar perubatan itu juga menolak kaitan pasangan kembar ramai itu dengan pencemaran bahan asing berikutan keadaan kembar yang dilahirkan sihat serta sempurna tanpa sebarang kecacatan.

Lebih mengelirukan, tiada sebarang bantuan perubatan bagi kehamilan seperti kaedah rawatan persenyawaan luar rahim (IVF) kerana kebanyakan penduduknya miskin.

Fakta perubatan menunjukkan kebanyakan kelahiran kembar membabitkan ibu berusia lanjut, tetapi di Kondinhi, sebahagian besar ibu beranak kembar ini masih muda kerana ramai yang berkahwin pada usia 18 hingga 20 tahun.

Satu lagi fakta perubatan menyatakan, kebanyakan ibu yang melahirkan anak kembar mempunyai ketinggian lebih 5 kaki 3 inci tetapi di Kondinhi, ibu pasangan kembar itu kira-kira 5 kaki.

Kesemua fakta ini membuktikan apa yang berlaku di Kondinhi sememangnya satu fenomena pelik, bukan saja dari sudut sains dan perubatan tetapi juga sosial.

Apa yang menarik, siapa pun tidak menduga, kampung yang serba serbi mundur dan miskin dengan kedudukannya yang jauh di pedalaman, sebaliknya mewah dengan barisan pasangan kembar yang sekali gus mempopularkan Kondinhi di kalangan masyarakat asing.

INFO: Fakta kembar

  • Purata 125 juta kembar di seluruh dunia
  • Nigeria mencatat bilangan kembar tertinggi di dunia iaitu satu bagi setiap 20 kelahiran yang dikaitkan dengan makanan utamanya, keladi yang mengandungi bahan penggalak kesuburan
  • Penduduk kulit hitam menjadi etnik miliki anak kembar tertinggi iaitu 1 : 77 kelahiran
  • Di Amerika Syarikat, nisbah kelahiran kembar adalah 1:80 kelahiran
  • Nisbah kembar tiga 1 :10,000 kelahiran
  • Sejarah masyarakat China sebelum ini menyifatkan kelahiran kembar sebagai memalukan
  • Wanita berusia 35 hingga 39 tahun lebih berpeluang besar memiliki anak kembar berbanding ibu muda

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...