Pengumpul mayat itu yang selama ini mengawet mayat supaya tahan selama-lamanya dengan teknik ‘plastination’ (menggunakan plastik) bagi dipamerkan di seluruh dunia, menggunakan bakat uniknya terhadap bangkai gajah berkenaan, Samba.
Gajah itu mati tahun lalu pada usia 41 tahun di Zoo Neukirchen, Jerman. Bangkai mamalia itu didermakan kepada Institut Plastination von Hagens untuk diawet, menjadikannya cabaran terbesar pernah dihadapi pasukan itu.
Dengan ketinggian lebih 3.96 meter dan berat 3,200 kilogram, proses mengawet Samba memakan masa 65,000 jam untuk menjadikannya bintang terbaru koleksi pameran von Hagens.
“Tiga puluh lima orang terbabit dalam kerja itu dan Samba akan dibawa pulang ke Jerman untuk dipamerkan tahun depan,” kata von Hagens yang dikritik pemimpin gereja kerana pamerannya yang menakutkan.
Mereka mendakwa doktor itu tidak menghormati maruah si mati. Sebelum ini, dia pernah mempamerkan orang mati melakukan aksi seks dan seorang ibu hamil bersama-sama janin dalam kandungannya.
Bagaimanapun, di tanah airnya, von Hagen di anggap wira dan mempunyai senarai menunggu orang yang berharap untuk menjalani proses plastination - satu teknik pengawetan mayat yang dipeloporinya.
Perhentian pertama Samba apabila pulang ke Jerman ialah di zoo tempat dia mati akibat sakit jantung. Von Hagens mencipta teknik plastination pada penghujung 1970-an dan mula membuat pamerannya yang menakutkan di Tokyo pada 1995. Sejak itu dia menjelajah pelbagai negara di Amerika Utara, Eropah dan Asia, dengan yang terbaru, di Singapura.
Pakar anatomi itu mencetuskan kontroversi sepanjang kariernya dan mendapat bantahan besar-besaran apabila melakukan pembedahan mayat di depan sekumpulan penonton yang membayar untuk melihat secara langsung pembedahan itu.
Digelar pembedahan secara terbuka pertama mayat manusia di depan khalayak ramai dalam tempoh 170-tahun, acara itu menunjukkan von Hagens mengeluarkan organ dan kulit daripada mayat seorang lelaki Jerman berusia 72 tahun.
Ketua Etika Persatuan Perubatan Britain mengecam pameran itu dengan menyifatkannya sebagai ‘penghinaan dan tidak menghormati’ perasaan orang lain.
Pada Januari 2004, majalah Jerman, Der Spiegel mendakwa von Hagens mengguna mayat bekas banduan yang menjalani hukuman mati di China. Doktor itu bagaimanapun berkata, dia tidak tahu asal usul mayat yang digunakan untuk pamerannya.
Pameran von Hagens, Body Worlds: The Original & The Cycle of Life biasanya membabitkan mayat tanpa kulit dengan otot dan organ didedahkan sementara mayat itu diletakkan dalam kedudukan seperti orang hidup.
Menurutnya, mayat yang digunakan dalam pameran itu biasanya daripada mereka yang bersetuju untuk mendermakan mayat mereka untuk tujuan pendidikan.
Von Hagens dan isteri, Angelina Whalley, melakukan proses plastination, teknik pengawetan yang menyahkan air daripada mayat sebelum pengawetan dilakukan mengguna getah silikon atau damar.
p/s: tolong awet ikan paus...
berkunjung...blog yang bagus sekali mas
ReplyDelete