TOLONG BERI TAHU

Share |

Susulan Kereta Terbang Di KB Mall

'Saya tak tahu memandu'



KERETA Ford Laser yang mengorbankan dua mangsa selepas jatuh dari tingkat 3 di KB Mall dibawa keluar semalam.

Hasrat calon SPM beli alat tulis di KB Mall bertukar tragedi

KOTA BHARU: Nurul Ain Said tidak menyangka hasrat membeli alat tulis untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang didudukinya, bertukar menjadi igauan ngeri apabila kereta yang dikendalikannya terjunam dari ruang meletak kereta kompleks beli-belah KB Mall, petang kelmarin, menyebabkan dua penuntut kejururawatan terbunuh.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dewan Beta, dekat sini berkata, dia hanya mampu mengucap kalimah syahadah dan terbayang saat kematian apabila kereta itu terbabas merempuh tembok penghadang lalu menjunam dari tingkat tiga ke aras bawah kompleks itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama adiknya, Nurul Akma, 14, membantu abang angkat mereka, Sabri Yusuf, 27, dari Jerteh, Terengganu, menghidupkan kereta Ford Laser itu selepas membeli-belah.

"Ketika hendak balik jam 5 petang, kereta tidak dapat dihidupkan. Saya dan Akma cuba menolak tetapi gagal," katanya di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.

Nurul Ain berkata, Sabri meminta dia mengendalikan kereta dan diajar cara menghidupkan enjin.

"Saya tidak tahu memandu kereta. Jadi, Sabri mengajar secara ringkas termasuk meminta menekan pendikit minyak dengan kuat serta memasukkan gear.

NURUL AIN (kiri) ditemani adiknya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

"Ketika mereka menolak kereta, saya memasukkan gear dan secara tiba-tiba enjin kereta hidup sebelum meluncur laju. Saya hilang kawalan dan kereta terjunam ke tingkat bawah.

"Saya bimbang keselamatan Akma kerana sangka dia turut terjatuh," katanya yang semakin pulih daripada trauma kejadian itu.

Nurul Ain bersyukur kerana terselamat walaupun terjatuh dari ketinggian 20 meter dan cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

Katanya, kira-kira jam 2 pagi semalam, dia dikejutkan seorang lelaki di wad yang menuduhnya menjadi punca ramai mati.

Sementara itu, Nurul Akma berkata, sejurus kereta itu menjunam, dia bergegas turun dan terkejut melihat mangsa terbaring berlumuran darah menyebabkannya panik dan menangis.

"Seorang wanita menenangkan saya sebelum dihantar pulang tanpa mengetahui nasib kakak. Kira-kira jam 12 malam, polis mengambil saya untuk membuat laporan dan melawat kakak di hospital," katanya.

Nahas KB Mall disiasat ikut Seksyen 304

Nahas di KB Mall sehingga menyebabkan kematian dua pelajar kolej kejururawatan, petang kelmarin disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dua beradik, Nurul Ain Said dan Nurul Akma, masing-masing 17 dan 14 tahun serta abang angkat mereka, Sabri Yusof disiasat mengikut seksyen itu yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata polis sedang mengesan lelaki yang juga pemilik kereta, tetapi melarikan diri sejurus kejadian. Dia diminta menyerah diri untuk membantu siasatan.

"Polis merakamkan keterangan adik wanita yang memandu kereta itu hari ini (semalam), manakala kakaknya diambil keterangan apabila pulih," katanya selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai anak warga polis Kelantan, di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...